Sunday, 22 September 2013

Kulit Ular dan Tenggiling Bernilai RM412,00.00 Dirampas

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 70 ekor tenggiling hidup dan kulit ular sawa kering bernilai kira-kira RM412,000 yang cuba diseludup masuk dari sebuah negara jiran, kira-kira 8.20 malam semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Johan berkata, rampasan tersebut dibuat ketika Kapal Maritim (KM) Nyalau sedang menjalankan Operasi Satria Utara kira-kira 38 batu nautika dari Pulau Pangkor dekat Lumut.

“Ketika menjalankan rondaan di sekitar perairan Perak, KM Nyalau mengesan sebuah bot Indonesia berada di kawasan perairan negara dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas diperiksa, anggota menemui 70 ekor tenggiling dan kira-kira 300 kilogram mampat kulit ular sawa yang disimpan dalam bot.

“Siasatan awal mendapati bot tersebut membawa spesies haiwan yang dilindungi itu tanpa permit yang sah sebelum diseludup masuk ke dalam negara.

“Nilai keseluruhan rampasan tidak termasuk bot tersebut dianggarkan kira-kira RM412,000,” katanya pada sidang media di Jeti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kampung Acheh, dekat Sitiawan, hari ini.

Menurutnya, APMM turut menahan empat orang lelaki warganegara Indonesia berumur antara 27 hingga 44 tahun.

Beliau berkata, tenggiling dan kulit ular sawa itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Perak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes tersebut akan disiasat mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan awal mendapati sindiket tersebut menggunakan bot nelayan tempatan untuk memunggah barangan seludup sebelum dibawa masuk ke dalam negara.

“Pihak APMM bersama Perhilitan akan meneruskan kerjasama dalam menangani penyeludupan spesies haiwan terancam,” katanya lagi - Peraktoday



Tenggiling (Manis javanica) ini menjadi kegemaran menu masakan restoran eksotik




للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Kulit Ular dan Tenggiling Bernilai RM412,00.00 Dirampas Daeng Selili Rating: 5 Sunday, 22 September 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!