Sunday, 22 September 2013

Hormati Hak Bumiputera - Tan Sri Abdul Aziz Rahman

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam agenda membela serta memperkasa ekonomi bumiputera bukanlah sesuatu yang baru atau mengejutkan sehingga wajar untuk dipolitikkan, kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman.

Katanya, pemerkasaan ekonomi bumiputera bukanlah sesuatu yang patut menjadi bahan polemik untuk dipolitikkan sebaliknya implimentasi kepada apa yang dinyatakan untuk masyarakat bumiputera itu adalah lebih penting.

“Apa sahaja dasar pembangunan negara termasuklah pemerkasaan ekonomi bumiputera ini secara tidak langsung akan memberi kesan positif kepada masyarakat keseluruhannya kerana tidak ada dinding pemisah untuk setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan dengan kaum-kaum lain,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, kebimbangan pemimpin negara terhadap ekonomi bumiputera adalah berasas kerana kaum bumiputera tidak mencapai ekuiti yang ditetapkan berbanding dengan kaum-kaum lain yang ekonominya telah mantap.

“Membantu masyarakat bumiputera adalah termasuk dalam Perlembagaan negara dan ia amat jelas tertulis dengan menetapkan kuota, rizab dan sebagainya mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri.

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah contoh terbaik yang mana kerajaan membantu masyarakat Melayu yang secara kebetulannya adalah golongan yang ketinggalan dalam sudut ekonomi jika berbanding dengan kaum-kaum lain namun dalam masa yang sama keadilan semua kaum tidak pernah diketepikan.”

Katanya, agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah langkah baru kerajaan bagi memastikan pencapaian setiap kaum adalah selari termasuk masyarakat bumiputera.

“Pengumuman ini adalah hasil daripada penelitian berikutan keprihatinan Perdana Menteri yang merasakan perlunya diperbaharui azam baru bagi memperbaiki kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera dan orang-orang Melayu.”

Tegasnya, sebagaimana DEB juga, pemerkasaan ekonomi bumiputera yang bersandarkan kepada lima teras dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencipta serta menjana kekayaan baru agar nikmat dan kemakmurannya dapat diraih dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, menunaikan janji dan melaksanakan amanah dari rakyat malah dengan segala pencapaian yang diperoleh hari ini maka sewajarnya ia menjadi ukuran bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, tanpa mengira latar belakang, sama ada bumiputera atau bukan bumiputera, Islam mahu pun bukan Islam.” - MU


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Hormati Hak Bumiputera - Tan Sri Abdul Aziz Rahman Daeng Selili Rating: 5 Sunday, 22 September 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!