Thursday, 19 September 2013

Chin Peng Bukan Perjuang : Fakta Kekejaman Komunis

Ada pihak berniat jahat cuba ubah fakta atas dakwaan persamaan hak


KEBELAKANGAN ini wujud seakan-akan satu pakatan tersusun pihak tertentu yang cuba mengubah sejarah perjuangan tokoh kemerdekaan negara dengan meletakkan tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) sebaris negarawan tanah air. Usaha halus bertopengkan kebebasan bersuara dan demokrasi hak asasi manusia ini jelas mengutarakan fakta yang diseleweng dengan niat merubah sejarah terkutuk perjuangan PKM yang hakikatnya banyak mengorbankan nyawa sehinggakan fakta penipuan yang dibuat-buat digambarkan sebagai benar yang harus diterima masyarakat moden Malaysia. 


Umum mengetahui, berdekad lamanya terlalu banyak kesengsaraan dan kematian direkodkan pasukan keselamatan atau orang awam yang tidak berdosa akibat keganasan PKM. Mungkin ramai tidak mengetahui fakta sebenar kaum Cina di Tanah Melayu paling ramai menjadi mangsa kekejaman PKM. 

Pada era Perang Dunia Kedua, kebanyakan kaum Cina di Tanah Melayu mendiami pinggir hutan bagi melarikan diri daripada pemerintahan Jepun yang kejam terhadap mereka. Selepas perang tamat, demografi penduduk ini kekal dan PKM dengan mengambil kira bahawa sokongan Cina yang mendiami pinggir hutan adalah penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan di hutan, mereka tidak teragak-agak menyeksa dan membunuh kaum ini yang enggan membantu atau membekalkan maklumat serta makanan. Tun Tan Cheng Lock pernah cuba dibunuh dengan dilemparkan bom tangan ketika bermesyuarat di Ipoh, Perak awal 1950-an. 

Tindakan ini dilakukan kerana komunis khuatir kejayaan kerjasama Sino-Melayu dalam menuntut kemerdekaan daripada British bakal menenggelamkan perjuangan PKM yang sia-sia. Justeru, tidak hairanlah keganasan komunis pada darurat pertama (1948-1960) banyak direkodkan di negeri yang mempunyai populasi Cina teramai seperti Perak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berbanding di negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu. 

Kekejaman tidak berperikemanusiaan PKM terhadap kaum Cina ini direkodkan pasukan keselamatan dan disaksikan pekerja estet. Kaum Cina diseksa akibat enggan bekerjasama malah penyeksaan lebih teruk dibuat kepada mereka yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM (guru, profesional dan ahli perniagaan). 

Mungkin ramai juga tidak mengetahui kewujudan komunis berbangsa Tamil diketuai pemuda bernama Perumal yang mengganggu pekerja estet di kalangan kaum India di Sungai Siput dan Ipoh, Perak awal 1950-an. Semua kekejaman ini dilakukan atas nama perjuangan Marxist Communism kononnya memperjuangkan hak kesemarataan tanpa perbezaan kelas. Mungkin fakta dan rekod kekejaman pengganas PKM sukar diterima masyarakat hari ini, hakikatnya perkara itu benar-benar berlaku dan direkodkan pasukan keselamatan sebagai fakta kes. 

Semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama diancam PKM setiap hari. Mereka khuatir menaiki kenderaan awam kerana disabotaj pengganas komunis. Rakyat turut tidak selamat menaiki kenderaan sendiri menyusuri jalan raya kerana sering diserang hendap pengganas yang mencari mangsa tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan agama kerana terlalu ingin merampas pakaian, makanan dan kad pengenalan orang awam bagi tujuan subversif. 

Pada hari ini ada juga dakwaan yang berani daripada mereka yang buta sejarah dengan menyatakan kemerdekaan yang diperoleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 bukan kemerdekaan sepenuhnya dan turut mendakwa jika bukan disebabkan perjuangan PKM, sukar untuk British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. 

Fakta ini diseleweng untuk menutup perjuangan sia-sia di hutan oleh PKM. Hakikatnya Tanah Melayu ketika itu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan bukan selepas ancaman komunis dihapuskan sepenuhnya pada 1960. Ini jelas menunjukkan British yakin dengan kepemimpinan Tunku yang dilihat mampu membawa kestabilan berkekalan kepada Tanah Melayu serta rantau Asia Tenggara walaupun British ketika itu turut diancam teori domino di Indochina. 

Ini membuktikan betapa masalah keganasan komunis bukan faktor British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu lebih awal daripada jangkaan iaitu pada 1960. Mengikut rekod, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British yang dilantik oleh Winston Churchill, Perdana Menteri Britain pada ketika itu diberikan mandat seawal 1952 iaitu menjadi dasar kerajaan kolonial British bahawa Tanah Melayu diberi kemerdekaan dan hak memerintah seawal 1960. 

Jika bukan disebabkan pengorbanan orang awam menggadaikan barang kemas dan menderma wang ringgit sendiri, delegasi Tunku Abdul Rahman tidak cukup dana untuk menghadiri perbincangan Kemerdekaan ke London bersama wakil MCA dan MIC. Hakikatnya yang lebih jelas pada 28-29 Disember 1955, ketika rundingan Baling, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng ketika itu secara jelas menyatakan jika kerajaan pimpinan Tunku berjaya mencapai kemerdekaan, PKM tetap meneruskan perjuangan bersenjata menentang kerajaan Tunku yang dipilih rakyat kerana dia melihat tiada ruang untuk kerjasama antara parti komunis dan parti pemerintah (komunis adalah sistem satu parti memerintah). 



Ketika rundingan, Tunku berkali-kali menawarkan pengampunan kepada anggota PKM untuk meletak senjata dan menjadi anggota masyarakat yang sama-sama membangunkan negara yang bakal merdeka. Peristiwa ini direkodkan pada hari kedua rundingan dengan Tunku meminta Chin Peng memikirkan nasib tujuh juta penduduk Tanah Melayu ketika itu yang menerima kesan buruk akibat perjuangan bersenjata 3,000 pengganas komunis yang aktif di hutan. 

Chin Peng sekali lagi menolak tawaran ini berikutan terlalu taksub dengan kejayaan Parti Komunis di China tanpa mengambil kira perbezaan politik di Tanah Melayu. Rundingan Baling walaupun gagal, terus kekal dalam sejarah sebagai bukti cukup jelas pendirian perjuangan komunis yang sia-sia dan menyimpang daripada perjuangan kemerdekaan; hakikat ini tidak dapat dipadam sampai bila-bila oleh sesiapa sekalipun. Jika diteliti rekod tulisan Chin Peng melalui memoirnya, My Side of Story, jelas menunjukkan dia tiada pendirian berkenaan objektif perjuangan PKM di Tanah Melayu dan lebih terikut-ikutkan situasi di China di bawah Mao Zedong.



INFO : Keganasan komunis

• Kaum lelaki Cina dipotong badan depan keluarga menggunakan cangkul atau parang berbanding senjata api kerana khuatir pasukan keselamatan Home Guard dan Gurkha menyiasat bunyi tembakan.


• Pengganas komunis mengeluarkan isi perut atau hati mangsa lalu memaksa keluarga atau isteri mangsa meletakkan organ ini di atas bara api.


• Mangsa yang dipotong anggota badan dibiarkan mati terseksa di depan keluarga dan pekerja estet dibiarkan menyaksikan tragedi malang ini sebagai peringatan jika enggan bekerjasama dengan PKM.


• Kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman komunis seperti di Estet Kamuning, Perak pada 1948 apabila mereka menyalib seorang kanak-kanak atas sebatang kayu.


• Pelbagai seksaan dilakukan terhadap kaum India di Perak oleh kumpulan Perumal, antaranya mengikat mangsa di pokok getah dan menyeksa mereka sehingga mati dan ada mangsa dipotong jari kerana kekal bekerja di ladang getah walaupun diberi amaran. - BH


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Chin Peng Bukan Perjuang : Fakta Kekejaman Komunis Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 19 September 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!