Saturday, 10 August 2013

Roh dan semangat Akta Hasutan akan tetap ada - Zahid Hamidi

Akta Keharmonian Nasional yang bakal digubal akan meneruskan roh dan semangat Akta Hasutan 1948.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu video yang dimuatnaikkan beliau di dalam blognya.

“Roh dan semangat Akta Hasutan akan tetap ada,” kata beliau dalam klip video tersebut.

Beliau turut menjelaskan tiga perkara yang tidak boleh dipertikaikan di bawah akta baru ini.

“Kedudukan Raja-Raja Melayu jangan dipertikaikan. Hasutan kaum di Malaysia juga tidak boleh disentuh.

“Perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan iaitu kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan Raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan hak keistimewaan orang Melayu juga tidak boleh dipersoal,” kata beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dalam bulan Julai tahun lepas.

“Akta baru iaitu Akta Keharmonian Nasional akan mengimbangi kebebasan bersuara yang dijamin di dalam perlembagaan dan pada masa yang sama memastikan semua kaum dan agama dilindungi,” kata Najib.

Pemansuhan Akta Hasutan ialah sebahagian daripada pembaharuan perundangan yang dibawa oleh Najib.

Walau bagaimanapun kelewatan dalam penggubalan Akta Keharmonian Nasional turut dipersoal oleh sesetengah pihak ekoran daripada peningkatan kes di mana terdapat pihak yang mempersoal isu-isu tertentu. - FMT




للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Roh dan semangat Akta Hasutan akan tetap ada - Zahid Hamidi Daeng Selili Rating: 5 Saturday, 10 August 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!