Wednesday, 31 July 2013

Pemilihan UMNO Wajar Dicontohi Parti Politik Lain

Pemilihan UMNO yang bakal berlangsung tahun ini dengan julung kalinya menggunapakai Perlembagaan parti yang baru iaitu dengan membuka ruang kepada anggotanya di akar umbi sewajarnya menjadi contoh dan tauladan kepada parti-parti politik lain sama ada di dalam atau di luar negara, kata penganalisis politik tempatan Pro. Datuk Dr. Zainal Kling.

Katanya, kesungguhan UMNO sebagai sebuah parti politik dalam melakukan transformasi terbukti dengan mewujudkan pembinaan semula UMNO yang membabitkan keanggotaan yang amat ramai.

“Tindakan pemilihan yang sedemikian tidak pernah berlaku dalam mana-mana parti politik sama ada di dalam negara dan di peringkat antarabangsa dan ini adalah tindakan yang perlu dijadikan tauladan oleh parti-parti politik khususnya dalam negara.

“Dengan tindakan UMNO yang membuat pembaharuan melalui kaedah pemilihan lebih terbuka maka tentunya ia boleh dijadikan model pada semua parti-parti politik khususnya di Malaysia yang banyak terdedah kepada tuduhan-tuduhan kononnya berlaku penyelewengan, manipulasi kumpulan tertentu dan penipuan.”

Ujar beliau, tindakan kepimpinan UMNO adalah amat hebat dan sangat-sangat demokratik kerana penglibatan ahli-ahli parti yang sangat ramai dalam pemilihan tidak pernah berlaku apatah lagi memasukkan anggota cawangannya di akar umbi sekali.

“Dengan tindakan tersebut ia akan dapat memperteguh lagi imej UMNO dan menampilkan citra baru dalam politik hari ini untuk dijadikan sebagai tauladan kepada parti-parti politik lain.

“Pembabitan anggota yang ramai ini juga akan membersihkan UMNO daripada fitnah dan tohmahan yang selama ini ditaburkan kononnya terdapat sogokan wang ringgit dalam pemilihan parti terbabit.”

Jelas beliau yang juga profesor di Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), sebagai sebuah parti yang telah lebih 67 tahun usianya, maka perubahan dan pembaharuan ini memberi sumbangan besar dalam arena politik antarabangsa khususnya di negara ini.

“UMNO mempunyai struktur dan organisasi teratur dengan Perlembagaan yang mantap dan digunapakai sejak sekian lama maka pembaharuan ini membawa ahli-ahlinya diakar umbi terlibat sama dalam pemilihan,” tambahnya.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan perlembagaan baru UMNO dikuatkuasakan dengan kaedah pemilihan jawatan-jawatan dalam parti adalah berdasarkan kepada Perlembagaan baru yang memberi ruang sekitar 150,000 ahlinya untuk memilih pemimpin parti dan ahli UMNO layak mencalonkan diri untuk bertanding.

Pendaftaran calon bagi semua jawatan sama ada di peringkat ahli MT, peringkat Bahagian dan peringkat pergerakan sayap-sayap telah ditetapkan pada 7 September (Sabtu) di Badan Perhubungan UMNO Negeri dengan persidangan sayap pergerakan dan pemilihan serentak sayap pergerakan akan berlangsung pada 28 September (Sabtu).

Pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pula akan berlangsung pada 5 Oktober dan Perhimpunan Agung UMNO 2013 akan diadakan bermula 2 hingga 7 Disember 2013.


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Pemilihan UMNO Wajar Dicontohi Parti Politik Lain Daeng Selili Rating: 5 Wednesday, 31 July 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!