Thursday, 20 June 2013

Terkorban Mati Syahid?!

Dek kerana tidak berpuas hati lagi dengan keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu, semakin ramailah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang meroyan tak tentu fasal.

Termasuklah dengan cara mengadakan himpunan haram, ‘Blackout 505′. Desakan demi desakan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat ini menganjurkan beberapa siri himpunan protes sebagai tindakan terdesak membantah keputusan PRU13.



Hakikatnya, ia hanyalah sebagai langkah untuk menutup kegagalan dan rasa malu Ketua Pembangkang mereka sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di sebabkan itulah, salah seorang pemimpin PAS, Naib Presiden PAS, Husam Musa juga sudah berubah angin kepalanya dengan menjadi meroyan secara tiba-tiba.

Hanya kerana mahu menaikkan sentimen kebencian dalam diri rakyat supaya terus bangkit membantah keputusan PRU13 selain menentang kerajaan UMNO dan BN, Husam sanggup berfikiran secara songsang.

Mana tidaknya, Husam sendiri sudah pandai mengeluarkan fatwa sendiri mengenai himpunan ‘Blackout 505′ yang terakhir yang bakal diadakan pada 22 Jun ini.

Menerusi laporan Harakahdaily, Husam menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang menyertai Himpunan Black 505 dan terkorban akan dianggap syahid.

“Andai kata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya-Allah ia adalah syahid fi sabillah…
“Kita boleh reda dengan kekalahan kita tetapi kita tidak diizinkan untuk reda dengan penipuan dan maksiat. Tiap-tiap kali pilihan raya Umno menang hanya dengan penipuan, wajib kita orang Islam tegak berdiri menentangnya,” itu antara kenyataan Husam.

Apakah kelayakan Husam untuk mengeluarkan fatwa sedemikian rupa? Sebabnya, Husam adalah seorang yang tidak berkredibiliti untuk mengeluarkan sebarang fatwa. Bila dinilai, fatwanya itu adalah tidak sah. Apatah lagi Husam bukanlah dari kalangan ulama’ yang bijak mengeluarkan bahawa keadaan kematian dalam himpunan itu sebagai mati syahid.

Sebelum ini juga, ramai pemimpin dari kalangan PAS sendiri menasihatkan agar rakyat tidak mudah terjebak dengan aktiviti himpun bantah ini kerana, setiap keputusan yang dikeluarkan haruslah diterima dengan hati yang terbuka.

Malah, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din mahu ahli PAS mematuhi pendirian serta nasihat Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diambil oleh setiap rakyat. Ini kerana, mengadakan himpunan bantah bukanlah termaktub dalam satu perlaksanaan parti PAS.

Kalau dahulu ketika kecoh tentang insiden tembakan di Lahad Datu, ada juga individu-individu tertentu mempertikaikan status kematian perwira-perwira negara walhal sudah terang anggota keselamatan negara gugur syahid kerana mempertahankan keselamatan negara.

Inikan pula kalau berlaku kematian dalam ‘Blackout 505′. Silap hari bulan, akan ada kematian yang sengaja dirancang.

Jadi, rakyat tidak harus termakan dengan kata-kata Husam. Perlu untuk kita kembali memahami maksud fatwa yang sebenar. Dan, berbaliklah semula kepada Ahli Majlis Fatwa untuk mendapatkan kepastian tentang perkara ini.

Kalau dibiarkan terus Husam ‘berkuasa’ di jalanan, mahu terus rosak agama Islam di negara kita ini.
Sebenarnya, Husam sendiri keliru dengan keperluan dirinya dalam parti PAS. Disebabkan beberapa masalah yang menghimpit dirinya seperti ketika ini berdepan dengan pelbagai masalah dan dianggap semakin terpinggir dari arus perdana perjuangan PAS apabila tidak dilantik sebagai exco kerajaan negeri Kelantan ketika Datuk Nik Aziz Nik Mat memilih untuk berundur dari jawatan menteri besar.

Bukan itu sahaja, ada pihak cuba mengaitkan dirinya dengan tidak mendapat perkenan Sultan Kelantan.
Kisah yang terbaru pula apabila Husam kalah dalam kes saman fitnah RM10 juta terhadap New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan empat yang lain berkaitan sebuah artikel mengenai jawatannya dalam parti dan kerajaan pada 11 Mei lalu.

Disebabkan itulah Husam mula nak meroyan dan ‘terlari’ sedikit dari landasan perjuangannya yang sebenar.

Wajar rasanya untuk pemimpin-pemimpin tertinggi PAS mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap diri Husam dan bukan hanya setakat mendiamkan diri sahaja. Bukan apa, takut nanti semakin teruk matlamat perjuangan parti PAS di saat-saat akhir nanti. - Nur Azlina Shaari




للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Terkorban Mati Syahid?! Daeng Selili Rating: 5 Thursday, 20 June 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!