Sunday, 9 June 2013

Pertandingkan 3 Jawatan Tertinggi Parti?!

Saya terganggu apabila UMNO Negeri Sembilan mencadangkan tidak perlu ada pertandingan untuk tiga jawatan tertinggi parti pada bulan Oktober ini. Saya lebih terganggu lagi apabila cadangan ini disambut baik oleh beberapa pemimpin kanan UMNO.

Cadangan ini pada saya menunjukkan pemimpin kanan UMNO tidak mahu berubah sedangkan ahlinya menuntut supaya demokrasi dalam parti disuburkan. Ahli UMNO mahu melihat ada pertandingan dalam parti setelah jawatan presiden tidak dipertandingkan sejak tahun 1987 lagi. Sepatutnya sama ada jawatan tertinggi parti dicabar atau tidak ditentukan oleh ahlinya, bukan oleh pemimpin kanan parti. Biar ahli yang menentukan sama ada mengekalkan barisan sekarang atau sebaliknya.

Jika tidak mahu ada pertandingan, maka buat apa dipinda perlembagaan pada tahun 2009 bagi membenarkan 146,500 perwakilan UMNO daripada 161 bahagian di seluruh negara membuat pemilihan pucuk pimpinan parti berbanding hanya kira-kira 2,500 perwakilan bahagian sebelum ini? Tidakkah pemimpin kanan yang bersetuju dengan cadangan UMNO Negeri Sembilan itu tahu bahawa dalam perlembagaan baru, sesiapa sahaja ahli boleh bertanding tanpa terikat lagi dengan kouta pencalonan, sebaliknya cukup dengan hanya mendaftarkan nama saja di Ibu Pejabat UMNO.

Saya tidak boleh terima idea tidak bertanding atas alasan parti memerlukan barisan kepimpinan yang mantap bagi meneruskan kesinambungan perjuangan UMNO dalam membela nasib rakyat. Saya tidak boleh menerima alasan tidak bertanding untuk mengelakkan perpecahan dalam parti. Yakinlah sesuatu pemilihan tidak akan menyebabkan perpecahan seperti tahun 1987, jika pemilihan parti diadakan secara telus dan adil tanpa penyelewengan.

Pada hemat saya, tanpa pertandingan UMNO tidak tahu sejauh mana kekuatan partinya, dan UMNO akan ketandusan pemimpin yang berpotensi untuk diketengahkan pada PRU ke-14 nanti.

Selepas PRU ke-13, saya pasti satu perkara: UMNO perlu cari pemimpin yang berpotensi untuk digilap. - Mohammad Agus Yusoff

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Pertandingkan 3 Jawatan Tertinggi Parti?! Daeng Selili Rating: 5 Sunday, 9 June 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!