Tuesday, 28 May 2013

Kenapa Kini Penyu Pupus?!

Oleh MANIRAH OTHMAN

TAHUKAH anda, nyawa penyu yang terperangkap dalam pukat nelayan sebenarnya boleh diselamatkan? Sebelum ini, ramai nelayan beranggapan cara terbaik ialah dengan memotong (membunuh) haiwan itu bagi mengeluarkannya daripada pukat.

Namun, ada kaedah yang lebih baik. Dengan beberapa langkah yang mampu dilakukan, ia dapat memastikan haiwan itu tidak terkorban.



Cara-cara untuk menyelamatkan penyu bermasalah ini menjadi tajuk utama yang dibincangkan sempena bengkel Bantuan Kecemasan Penyu yang diadakan untuk nelayan sekitar Paka, Dungun, Kerteh dan Kemaman baru-baru ini.

Bengkel tersebut merupakan anjuran Persatuan Khazah Rakyat Ma'Daerah (Mekar) dengan usahasama World Wide Fund for Nature (WWF) untuk mendidik nelayan dalam mengurangkan risiko kepupusan haiwan tersebut.

Menurut Koordinator WWF-Indonesia, Imam Mustofa Zainudin, menyelamatkan penyu dengan alatan yang betul dapat mengurangkan kecederaan yang dihadapi haiwan tersebut.

Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah nelayan sentiasa menyediakan alat yang bersesuaian untuk melepaskan penyu sekiranya mata kail tersangkut pada mulut penyu ataupun penyu terperangkap pada jaring.

Ini kerana, jelasnya, walaupun nelayan berjaya melepaskan penyu dalam keadaan masih hidup, tetapi apabila caranya tidak betul, ia akan menyebabkan haiwan tersebut menjadi semakin teruk tercedera.

"Jika penyu yang terperangkap itu terlalu besar seperti daripada spesies penyu Belimbing, usaha untuk menyelamatkannya lebih sesuai dijalankan di laut tanpa diangkat masuk ke dalam bot," katanya.

Menurutnya, usaha untuk mengangkat penyu Belimbing agak sukar dan mungkin cara itu akan menyebabkan kecederaan penyu lebih teruk tetapi bagi spesies yang lebih kecil seperti penyu Agar atau Karah, ia lebih mudah dilakukan di atas bot.

Bagaimanapun, katanya, untuk menanggalkan cangkuk pukat yang terlekat pada penyu di dalam air, tindakan itu agak sukar dan memerlukan kesabaran.

"Bagi yang lebih kecil, ia lebih senang dilakukan tetapi harus diingat, jangan biarkan tangan anda dekat bahagian mulut penyu kerana ia boleh menggigit kerana penyu mempunyai rahang yang agak kuat," ujarnya.

Namun, katanya, sekiranya penyu tersebut lemas atau koma, ia perlu diletakkan pada posisi bahagian belakang badan lebih tinggi berbanding bahagian depan bagi memastikan penyu tersebut sedar semula.

"Ini kerana, jika penyu tersebut dilepaskan semula dalam keadaan tidak berdaya, ia boleh menyebabkan penyu tersebut tidak dapat hidup lama," katanya.

Walaupun ancaman pukat nelayan hanya salah satu daripada puluhan penyebab kematian penyu tetapi jika usaha ini digembleng semua pihak, mungkin krisis kepupusan ini akan berakhir.

Ancaman-ancaman utama bagi penyu antaranya ialah kehilangan habitat untuk bertelur akibat perbuatan manusia, pemakanan telur oleh manusia, selain ditangkap untuk dijadikan hidangan eksotik.

Sementara itu, beberapa nelayan yang ditemui sempena bengkel tersebut mengakui mereka masih tidak arif dengan cara-cara menyelamatkan penyu yang tersangkut di dalam jaring biarpun setiap hari berdepan dengan lautan.

Menurut salah seorang nelayan, Wan Abdullah Wan Embong, 53, beliau mula menjadi nelayan sejak remaja lagi iaitu ketika penyu masih banyak di perairan negeri ini.

"Seringkali apabila ada penyu terperangkap, tidak banyak yang dapat kami bantu dan tidak tahulah sama ada penyu yang dilepaskan itu berjaya hidup atau tidak," katanya.

Bagaimanapun, katanya, biarpun bengkel yang diikutinya itu agak terlambat diadakan ekoran spesies itu yang semakin terancam, namun ia sekurang-kurangnya masih dapat membantu kelangsungan hidup penyu yang masih berbaki.

Dalam pada itu, Zulkifli Abdullah, 43, baru menyedari bahawa penyu yang tersangkut pada pukat boleh diselamatkan tetapi agak terkilan kerana mereka tidak didedahkan lebih awal tentang cara-cara menyelamatkan penyu.

"Kenapa baru buat sekarang, kenapa tidak dari dulu lagi? Sekarang penyu dah tak ada, kalau dulu banyaklah," katanya.

Berjuta Penyu dan Kura-Kura Dibunuh? 
(geli Jangan tengok)
SINI


للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Kenapa Kini Penyu Pupus?! Daeng Selili Rating: 5 Tuesday, 28 May 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ping!